.......Masa Itu Emas......


Terdapat pepatah dalam bahasa Melayu yang berbunyi 'Masa Itu Emas'. Dalam masyarakat Arab pula, popular dengan pepatah 'Masa itu pedang'. Manakala dalam Al-Qur'an sendiri terdapat satu surah yang bernama Surah Al-Asr. Makna Al-Asr adalah masa atau pun waktu asar. Semuanya menggambarkan bahwa masa itu teramat penting dan kalau orang yang mensesia masa walau sedetik pun dianggap rugi, pemalas dan tidak tahu bersyukur.

Persoalan yang sering dikatakan sekarang adalah kenapa orang Melayu sejak dahulu suka membuang masa? Mereka juga tidak suka menepati masa yang telah dijanjikan. Tidak kira status mana mereka berada, perangainya tetap begitu. Walau pun kata-kata begini amat pahit untuk diterima, tetapi ianya perlu diakui kerana hakikatnya memang begitu.

Aku melihat di Pusat Pengajian Tinggi seperti UKM, ketepatan masa juga tidak diambil berat. Tidak kira pensyarah seperti Doktor, Profesor, apatah lagi pelajar yang mengikuti pengajian. Kadang-kadang kelas yang sepatutnya bermula jam 8.30 pagi, pensyarah hanya datang pada 8.40 dan 9.00 pagi. Bagaimana mereka mahu membentuk tauladan yang baik kepada pelajar sekiranya merek sendiri tidak menghargai masa? Sebahagian daripada pensyarah ini adalah dari kalangan Ustaz dan Ustazah yang saban hari berceramah tentang keindahan dan kesyumulan Islam. Tidak keterlaluan dikatakan mereka hanya tahu berbicara tanpa membuat apa yang mereka bicarakan!

Jika dilihat kepada jadual pengajian bagi pelajar yang yang mengikuti program Pengajian Berterusan Jarak Jauh (BPJJ) di UKM, akan didapati bahawa kelas akan bermula pada jam 8.30 pagi dan akan berakhir selepas enam jam berlangsung. Ini bererti setiap pensyarah diamanahkan supaya menghabiskan masa enam jam pada setiap sessi pengajian yang dibuat. Semestinya kelas sepatutnya dihabiskan pada waktu petang. Terpulang kepada kebijaksanaan pensyarah untuk menetapkan waktu rehat yang bersesuaian dengan kelas yang dikendalikannya.

Kebanyakan pensyarah, bahkan hampir keseluruhan pensyarah tidak memberikan masa rehat yang bersesuaian dengan masa tibanya waktu zohor. Waktu zohor yang yang dianggarkan pada jam 1.00 hingga 1.30 tidak diberikan rehat ketika itu. Mereka lebih suka meneruskan pengajian kelas dan menamatkannya pada jam 2.30 atau 3.00 petang.Mereka seolah-olah tidak merasa sesuatu yang penting merehatkan seketika pada waktu tengahari untuk memberi peluang pelajar solat zohor berjamaah. Ini adalah perkara yang wajar diberi perhatian oleh pihak UKM dan pensyarah yang terlibat. Keadaan seperti ini seolah-olah seperti menghalang daripada melakukan solat secara berjamaah. Mungkin setengah pihak menganggap ini adalah persoalan kecil dan remah. Akan tetapi mereka patut sedar bahawa tiada yang remeh dalam perkara yang melibatkan Ibadat dan Sunnah Nabi SAW. Kadang-kadang matapelajaran yang diajar adalah agama, tatapi di masa yang sama tidak diberikan kesungguhan dalam pengamalannya.

Ada setengah orang berpendapat, cara yang paling asas untuk belajar menepati masa adalah dengan mengikuti waktu solat. Seseorang yang setiap masa akan solat berjamaah apabila tibanya waktu solat akan lebih mudah menepati masa, tidak akan suka membuang masa dan amat menghargai masa supaya tidak hilang sia-sia begitu sahaja. Syaratnya adalah mestilah melakukan solat secara berjamaah lima waktu sehari semalam termasuk waktu subuh. Dia mesti berusaha bangun pagi dan solat di surau berdekatan secara berjamaah. Maka dia akan menjadi seorang yang berdisiplin dan menepati masa serta tidak akan rugi seperti yang terdapat dalam Surah Al-Asr.

Di jabatan-jabatan kerajaan juga situasi yang sama berlaku. Sesuatu mesyuarat yang dijadualkan pada jam 9.00 pagi amat mustahil dilakukan tepat pada masanya. Sedangkan yang mempengerusikan mesyuarat adalah ketua jabatan tersebut. Bagaimana mahu mewujudkan kakitangan yang berintegriti sekiranya perkara sebegini tidak dibuat. Walaupun kelihatan agak remeh, tatapi kesannya adalah besar kepada sesuatu jabatan.

Sudah lebih dari 10 tahun, perangai pegawai di sesetengah agensi kerajaan tetap sama. Mereka seolah-olah tidak menghargai masa. Menjadi perkara kebiasaan kita mendapati di kedai-kedai makan dipenuhi oleh orang-orang kerajaan yang minum pagi sehingga jam sembilan lebih, bahkan sehingga hampir jam 10 pagi. Mereka seolah-olah tiada apa yang mahu dibuat. Adakah mereka dibayar gaji dengan menggunakan wang rakyat untuk lepak dan bersenang-senang di kedai kopi? Berapa banyak komen dari orang awam yang datang dari jauh untuk berjumpa dengan mana-mana pegawai tetapi terpaksa menunggu lama kerana masih berada di kedai kopi bersembang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...